BAU, 15 Mei: Jambatan Gantung Tasik Biru, atau dikenali sebagai Jambatan Bicentennial Bau, kini tampil lebih menyerlah apabila dilimpahi pancaran cahaya lampu yang menjadikan kawasan sekitarnya lebih indah dan mempesona, khususnya pada waktu malam.
Jambatan sepanjang 60 meter itu bukan sahaja berfungsi sebagai laluan pejalan kaki, malah menjadi simbol baharu kepada pembangunan dan tarikan pelancongan daerah ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Maritim dan Sungai) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep berkata, jambatan berkenaan dibina bagi menggantikan jambatan konkrit merah yang pernah merentangi Tasik Biru sebelum ia dirobohkan susulan kerja perlombongan fasa kedua.
“Jambatan ini dibina dengan kos RM1 juta dan mula dibuka pada 2022 sempena sambutan ulang tahun ke-200 Bau. Namun, ia ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf pekan.
“Kini jambatan ini dibuka semula kepada orang ramai secara percuma dan dilengkapi dengan sistem pencahayaan yang akan dinyalakan pada waktu malam ketika pesta, hujung minggu dan musim perayaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Lampu Jambatan Gantung Tasik Biru di sini, malam tadi.
Reka bentuk jambatan itu diinspirasikan daripada jambatan pelancongan di Waihi, New Zealand dan dibina berkonsepkan jambatan gantung ala San Francisco, sekali gus menjadikannya salah satu mercu tanda baharu daerah ini.
Menurut Henry, pencahayaan pada jambatan itu merupakan inisiatif bagi menghidupkan suasana Tasik Biru pada waktu malam sekali gus menambah nilai tarikan pelancongan kawasan berkenaan.
“Saya yakin jambatan ini akan menjadi satu lagi ikon pelancongan baharu di Bau dan memberi impak besar kepada ekonomi setempat,” katanya. – TVS