KOTA SAMARAHAN, 16 Mei: Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) terus komited memperkasa pembangunan di Bahagian Samarahan untuk memberi manfaat menyeluruh kepada setiap lapisan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia berdasarkan pelaksaan banyak projek berteraskan rakyat yang dibangunkan.
“IRSDA memainkan peranan signifikan dalam merancakkan lagi pembangunan di Bahagian Samarahan.
“Ini sebabnya, banyak projek berimpak tinggi dan berteraskan rakyat di bangunkan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Pejabat IRSDA hari ini.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, projek di bawah IRSDA menunjukkan kemajuan positif terutama dari segi pelaksanaan.
Pada masa sama, beliau turut berharap projek yang masih dalam perancangan dapat dilaksanakan segera demi manfaat masyarakat.
“Kalau boleh segerakan projek yang sudah dirancang demi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” ujarnya.-TVS