Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru dan penghargaan kepada semua warga pendidik

Guru ejen pembangunan minda

ByFebbright James

KUCHING, 16 Mei: Guru bukan hanya bertindak sebagai penyampai ilmu tetapi menjadi ejen pembangunan minda dan pemacu transformasi pendidikan holistik terutama dalam dunia digital serta berteknologi tinggi.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua guru berdedikasi dan tidak patah semangat untuk memastikan anak didik mereka mendapat pendidikan terbaik walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Seperti pekerja di sektor lain, guru turut menghadapi cabaran di tempat kerja. Ada yang mengajar di sekolah kurang pembangunan seperti jalan, bekalan air dan elektrik selain bertugas di kawasan pedalaman dan jauh daripada keluarga tersayang namun tetap bersemangat mendidik.

“Guru merupakan tonggak kepada pendidikan kita yang menjadi batu asas kepada kemajuan dan kemakmuran negara serta negeri kita.

“Tanpa mereka, anak kita tidak akan memperoleh ilmu, tidak berpandangan jauh, tidak mampu menempuh cabaran masa kini dan mungkin tidak berupaya menempuhi cabaran masa depan,” katanya menerusi perutusan Hari Guru 2025.

Pada masa sama, Tun Wan Junaidi percaya Kementerian Pendidikan mempunyai perancangan untuk menitikberatkan hal ehwal guru di seluruh Malaysia dan mengambil inisiatif sesuai untuk memastikan golongan tersebut menikmati kemudahan lengkap terutama yang mengajar di luar bandar.

Tambahnya, sambutan Hari Guru pada 16 Mei merupakan peluang signifikan untuk memberi penghargaan kepada jasa, khidmat bakti dan pengorbanan pendidik.

“Sebagai tanda ikhlas menghargai guru, anjur lah majlis dengan cara tersendiri. Penghargaan kepada pendidik boleh dianjurkan dalam pelbagai bentuk seperti majlis deklamasi atau kad ucapan daripada pelajar yang dipaparkan di laman media sosial,” ujarnya.

Menurutnya, tema ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’ sangat relevan kerana memberi tumpuan kepada usaha pemerkasaan profesionalisme guru melalui inovasi pengajaran selari keperluan pendidikan abad ke-21.

“Tema ini menjurus kepada meningkatkan kualiti pendidikan melalui transformasi sistem yang berpusatkan guru sebagai nadi perubahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau bersama-sama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru dan penghargaan kepada semua insan bergelar guru. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan