SAMARAHAN, 16 Mei: Velesto Energy Berhad (Velesto) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan menganjurkan VIBES Innovation Challenge di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Velesto dan SEDC dalam satu kenyataan memaklumkan ini merupakan pertandingan gaya hackathon yang mencabar pelajar membangunkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran utama industri.
“Masing-masing diberi tugasan untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik bagi menghasilkan penyelesaian praktikal terhadap cabaran dunia sebenar khususnya dalam bidang industri, teknologi dan kelestarian alam sekitar.
“Pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama UNIMAS ini menghimpunkan seramai 151 peserta daripada 35 pasukan. Peringkat separuh akhir dan akhir dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Mei 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, UNIMAS,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, VIBES Innovation Challenge menyediakan platform kepada pelajar menukarkan idea kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan selari dengan komitmen bersama Velesto dan SEDC dalam meningkatkan kualiti pendidikan, membangunkan keupayaan tenaga kerja masa depan serta menyokong matlamat jangka panjang Sarawak ke arah pertumbuhan mampan dipacu ilmu pengetahuan.
“Sejak pelancarannya pada 24 Mac lepas, pertandingan ini merangkumi bengkel idea, sesi bimbingan serta penilaian yang dikendalikan oleh para profesional industri dan ahli akademik daripada Velesto, SEDC dan UNIMAS.
“Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif VIBES yang bertujuan memupuk bakat tempatan dan menggalakkan inovasi melalui pengalaman pembelajaran STEM secara praktikal.
“Ia sejajar dengan visi bersama Velesto dan SEDC untuk membangunkan ekosistem inovasi Sarawak dengan membekalkan generasi masa depan dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menyelesaikan cabaran masa hadapan,” jelas kenyataan tersebut.-TVS