KUALA LUMPUR, 16 Mei: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) waktu puncak bermula semalam (15 Mei) hingga 4 Jun sempena sambutan Aidiladha.
APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi sempena perayaan itu yang dijangka disambut 7 Jun.
“Sehubungan itu, pihak APAD mempelawa semua pengendali bas yang berminat untuk membuat permohonan LPS ini.
“Permohonan boleh dikemukakan melalui sistem i-SPKP dengan tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan ialah dari 5 hingga 10 Jun.
Menurut APAD tiada surcaj 10 peratus dikenakan bagi LPS waktu puncak itu.
APAD memaklumkan pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik pada setiap masa sejajar dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam meningkatkan mobiliti dan kesejahteraan rakyat melalui perkhidmatan pengangkutan awam darat yang selamat dan selesa. –Â TVS