KUALA LUMPUR, 16 Mei: Affin Hwang Investment Bank Berhad memperkukuh komitmen terhadap pendidikan inklusif menerusi pelancaran bilik terapi sensori khas untuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Selayang Bharu, Selangor.
Menurut satu kenyataan media hari ini, bilik terapi tersebut dilengkapi dengan pencahayaan khas, alat pembelajaran interaktif dan suasana menenangkan bagi membantu pelajar meningkatkan tumpuan, keyakinan diri dan intervensi positif.
“Di Affin Hwang, kami percaya setiap pelajar tanpa mengira keperluan berhak mendapat peluang belajar dalam persekitaran selamat dan kondusif.
“Bilik terapi sensori ini diwujudkan bagi menyediakan ruang sedemikian kepada pelajar aliran khas di SMK Selayang Bharu sekali gus menyokong pencapaian pembelajaran yang lebih baik serta perkembangan emosi lebih sihat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang, Nurjesmi Mohd Nashir.
Seramai 146 pelajar akan menerima manfaat daripada kemudahan baharu ini.
Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada projek “Adopt A School” yang dilaksanakan di bawah pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
Menurut Nurjesmi, pelaksanaan tersebut adalah permulaan kepada kerjasama jangka panjang dengan pihak sekolah.
“Usaha ini memperlihatkan dedikasi berterusan kami dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif sambil memberi tumpuan kepada pemerkasaan jangka panjang melalui penglibatan aktif bersama komuniti.
“Kami komited untuk terus memperkasa peluang pendidikan serta membekalkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya,” ujarnya.
Majlis peluncuran inisiatif itu turut memperkenalkan fasa seterusnya termasuk kempen literasi kewangan, program kelestarian alam sekitar dan penubuhan kafe keusahawanan vokasional pelajar.
Pengetua SMK Selayang Bharu, Budiman Menteri menyambut baik sokongan tersebut.
“Masa depan anak-anak ini bermula hari ini. Dengan sokongan berterusan, mereka pasti mampu mencapai potensi sepenuhnya,” jelasnya.-TVS