KUCHING, 16 Mei: Seramai 31 ahli Majlis Daerah Gedong dilantik semula bagi tiga tahun bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028 sekali gus meneruskan kesinambungan khidmat mereka dalam merancang dan melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.
Mereka merupakan ahli majlis pertama bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu selepas penubuhannya diumumkan Abang Johari pada tahun 2023.
Upacara angkat sumpah dimulakan dengan Pengerusi Majlis Daerah Gedong, Tamida Da’adi disusuli timbalannya, Japar Mustapha dan 29 ahli-ahli majlis, kemudiannya diteruskan dengan sesi lafaz ikrar bebas rasuah yang disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais.
Selain itu, kesinambungan dalam barisan pentadbiran itu diharap dapat memudahkan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan yang dirancang agar berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ahli Majlis juga digalakkan terus peka terhadap keperluan masyarakat setempat serta melibatkan diri secara aktif dalam sesi libat urus bersama komuniti agar segala perancangan yang dibuat benar-benar mencerminkan kehendak akar umbi.
Majlis Daerah Gedong dijangka terus menjadi antara pemacu utama pembangunan luar bandar di wilayah ini seiring dengan visi Kerajaan Sarawak untuk memastikan kesejahteraan rakyat secara holistik dan berterusan. – TVS