MARUDI, 16 Mei: Seramai 10 pemain lelaki dan wanita terdiri daripada pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi akan menyertai Kejohanan Badminton Piala PJP Sarawak Tahun 2025.
Kejohanan itu akan diadakan dari 20 hingga 25 Mei ini bertempat di Dewan Persatuan Badminton Bumiputera Sarawak.
Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil mengadakan perjumpaan bersama pasukan badminton yang akan mewakili IPD Marudi dalam kejohanan itu semalam.
Beliau menyuntik semangat pemain yang mewakili IPD Marudi supaya bermain dengan penuh semangat kesukanan.
“Bermain secara profesional dan sentiasa menerapkan disiplin tinggi sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.
Turut hadir Konvener Sukan Badminton IPD Marudi yang juga Pengurus Pasukan IPD Marudi, Inspektor Mohd Azar Hilmi Azhar bersama jurulatih, Mohammad Sharill Wasli.-TVS