BAU, 15 Mei: Tasik Biru bakal menjadi lokasi zoo pertama milik swasta di Sarawak, sekali gus membuka lembaran baharu kepada daerah Bau sebagai destinasi pelancongan berpotensi di rantau Borneo.
Pengarah Urusan Tecktonic & Sons Holdings Sdn. Bhd., Lee Chin Teck berkata, pembinaan zoo itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan Tasik Biru Resort City.
“Zoo ini akan menjadi pemangkin utama pembangunan pelancongan di Bau.
“Kami sedang memohon lesen daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan jika diluluskan, pembinaan akan bermula tahun ini dengan kos sekitar RM30 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini.
Menurutnya, zoo tersebut dirancang untuk menempatkan pelbagai spesies haiwan eksotik termasuk harimau, singa dan zirafah, serta merancang ia dibina bersebelahan tasik bersejarah itu yang sinonim sebagai kawasan perlombongan emas sejak 1820.
Lee mendedahkan inspirasi bagi pembinaan zoo terbabit lahir selepas dirinya mengunjungi beberapa zoo di Asia Tenggara serta taman bunga terkenal, Butchart Garden di Kanada, yang sebelum ini merupakan tapak perlombongan batu kapur.
“Zoo ini bukan sekadar tempat melihat haiwan. Ia akan digabungkan dengan pembangunan lain seperti hotel, pangsapuri, taman tema dan boulevard tepi tasik bagi menjadikan Bau setaraf lokasi pelancongan utama seperti Sunway,” katanya.
Beliau turut memberitahu aspek pendekatan pembangunan berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan ditekankan dalam projek mega itu bagi memastikan pemulihan kawasan bekas lombong dilakukan secara lestari dan bertanggungjawab.
Tambahnya, Bau bukan lagi lokasi yang jauh dan dengan pelan pembangunan ini, ia akan menjadi destinasi pelancongan yang moden dan berdaya saing di Sarawak.
Melalui pembangunan Tasik Biru Resort City dan pembukaan cawangan ke-11 Lepapa di Bau juga, lebih 250 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan untuk penduduk tempatan.
“Saya telah membuka 250 peluang pekerjaan untuk masyarakat di sini.
“Ini merupakan cawangan ke-11, dan tahun ini saya akan membuka cawangan baharu di Selangau dan Lawas yang dijangka tiga kali ganda lebih besar,” katanya. – TVS