KUCHING, 15 Mei: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkenalkan Ooo Haa! Gawai Pop-Up Market sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan Gawai Dayak tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh Askor berkata, acara itu merupakan inisiatif untuk menonjolkan keindahan budaya masyarakat pelbagai kaum.
“Acara ini bukan hanya untuk meraikan, tetapi juga untuk menghidupkan kembali warisan serta menyampaikan nilai-nilai tradisi kepada generasi baharu dan pelawat dari luar negeri.
“Sarawak mempunyai kekayaan budaya yang hidup, dan Ooo Haa! adalah satu jemputan terbuka untuk semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, festival berkenaan akan berlangsung di dua lokasi utama iaitu di Taman Pusat Maklumat Pelawat (Visitor Information Centre Garden) Sibu dari 16 hingga 18 Mei dan di lokasi sama di Miri dari 23 hingga 25 Mei ini.
“Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.
Acara yang berlangsung dari 4.00 petang hingga 10.00 malam itu bukan sekadar pasar biasa, sebaliknya menjadi platform interaktif yang mendekatkan masyarakat dengan kekayaan budaya dan tradisi kaum Dayak, khususnya Iban dan Bidayuh.
Setiap malam, pengunjung akan disajikan dengan persembahan budaya memukau seperti muzik sape, tarian tradisional serta ritual penting seperti Miring dan Ngalu Temuai, yang melambangkan penghormatan kepada roh nenek moyang.
Turut diperkenalkan ialah Randau Gawai, iaitu sesi penceritaan yang menggambarkan falsafah serta nilai murni yang terkandung dalam adat dan amalan Gawai.
Festival ini juga mengetengahkan pelbagai permainan tradisional seperti cabaran sumpit, gusti lengan dan Batak Lampung, yang membangkitkan semangat komuniti serta mencetus keseronokan merentas generasi — sesuai untuk seisi keluarga dan pelawat dari dalam serta luar negara.
Sebanyak 15 vendor tempatan di Sibu dan 30 di Miri akan menyertai festival itu untuk menjual pelbagai hasil tangan, makanan warisan, produk hutan serta resipi tradisional seperti daging salai, kuih peribumi dan sajian unik pelbagai suku kaum.
Ooo Haa! Gawai Pop-Up Market merupakan sebahagian daripada siri acara bermusim anjuran STB, yang sebelum ini pernah menganjurkan Twinkling Christmas Market, Spring in the City (sempena Tahun Baharu Cina) dan Ramadan Mubarak Market.