KUCHING, 15 Mei: Sarawak memperkasakan penguasaan teknologi dan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda sebagai strategi utama untuk memastikan negeri ini kekal kompetitif di pentas global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam era digital dan automasi masa kini, kecekapan dalam bidang sains dan teknologi perlu digabungkan dengan kefasihan dalam bahasa ilmu.
“Kita tidak mengagungkan bahasa Inggeris, tetapi kita melihatnya sebagai bahasa ilmu.
“Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Sarawak telah memperluaskan pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) dan menyediakan latihan intensif kepada guru-guru supaya selari dengan kehendak semasa pendidikan global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-54 2025 di sebuah hotel termuka di sini, pada Khamis.
Abang Johari merujuk kepada usaha Sarawak membangunkan industri hidrogen sebagai tenaga boleh diperbaharui yang memerlukan kepakaran tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan kimia.
Ketika ini katanya, Sarawak mempunyai enam buah sekolah antarabangsa yang membolehkan pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan menikmati kurikulum antarabangsa secara percuma bagi menjamin akses seimbang kepada sistem global.
“Biar kita seimbang, ada anak-anak kita yang keluar daripada silibus antarabangsa selain daripada silibus nasional. Maka dengan itu, ada anak-anak kita yang fasih di semua bidang,” jelasnya.
Tambah beliau, kira-kira 60 bidang pengajian sedang dikaji untuk ditawarkan dalam universiti milik negeri menjelang 2026, termasuk satu program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan.
Langkah ini, katanya, adalah antara pendekatan strategik bagi memastikan anak Sarawak mampu bersaing setanding negara-negara seperti China dan India yang telah mendahului dalam bidang teknologi dan inovasi global. – TVS