ALOR SETAR, 15 Mei: Polis menumpaskan cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM1.6 juta susulan penahanan dua lelaki di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, petang Rabu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penghantar kargo, ditahan bersama seorang lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai pemandu teksi di Pekan Danok.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu nombor pendaftaran Thailand, polis menemukan dua beg bagasi berisi 80 peket plastik mampat mengandungi bunga ganja seberat 45.552 kilogram (kg).
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menerima upah menjadi ‘transporter’ antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran bunga ganja dari Thailand ke Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok, Kelantan.
“Bunga ganja ini harganya sangat tinggi kerana menghampiri RM10,000 satu kg di Thailand dan di Malaysia harganya mencecah RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelas Fisol susulan penangkapan ini dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor turut menahan dua lelaki yang dipercayai dalang utama sindiket ini.
Hasil siasatan salah seorang daripada suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan narkotik. – TVS