KUCHING, 15 Mei: “Tiba-tiba sahaja kenderaan itu bergerak dan terus terjatuh ke dalam sungai,” kata seorang saksi.
Ia antara detik cemas diceritakan seorang saksi selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terjatuh dari Jambatan Tun Salahudin ke dalam Sungai Sarawak malam tadi.
Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bawah jambatan yang menghubungkan Petra Jaya dan pusat bandar ini.
Memetik laporan Suara Sarawak, Jurucakap JBPM berkata, panggilan kecemasan diterima pada 10.07 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kira-kira empat kilometer dari balai.
“Jentera tiba pada 10.11 malam dan berdasarkan maklumat awal saksi, kenderaan tersebut dilihat berada di kawasan jambatan sekitar jam 10 malam.
“Kenderaan yang diparkir menghala ke sungai itu tiba-tiba bergerak sendiri dan sempat tersangkut pada rangka besi jambatan sebelum terjunam sepenuhnya ke dalam sungai,” katanya.
Setakat ini, identiti mangsa serta jenis kenderaan masih belum dikenal pasti.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM sedang bersiap sedia untuk melakukan operasi selaman bermula malam tadi.
Cuaca mendung dan arus sungai yang agak deras menyukarkan usaha menyelamat, namun pasukan penyelamat tetap komited menjalankan tugas mereka.-TVS