SUBANG JAYA, 15 Mei: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan insentif pengecualian cukai jalan selama setahun kepada peserta program PROTON X Change berkuat kuasa hari ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pemberian itu bagi memberi sokongan kepada usaha PROTON terhadap program itu dan pada masa sama menggalakkan rakyat Malaysia untuk menukar kenderaan lama mereka kepada yang baharu.
“Saya akan arahkan MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk segera melaksanakan mekanisme ini bersama dengan PROTON.
“Pemberian pengecualian cukai jalan ini tiada had, kalau mereka ada lima buah kenderaan lama dan ditukarkan kepada yang baharu, mereka akan dikecualikan kesemuanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran PROTON X Change di Kompleks Pusat Kecemerlangan PROTON di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi PROTON Holding Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed Ali Redtza Albar.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pihaknya akan menilai penerimaan terhadap PROTON X Change dan sekiranya memberangsangkan, satu program yang lebih besar akan dilancarkan pada tahun depan.
Program itu yang berlangsung sehingga hujung tahun ini menawarkan kepada pelanggan untuk menukarkan kenderaan lama mereka dengan wang tunai RM2,000.
Namun begitu, pelanggan hanya layak menerima wang tunai berkenaan sekiranya membuat pembelian terhadap
mana-mana model kereta daripada PROTON. – TVS