BINTULU, 15 Mei: Kementerian Pengangkutan Sarawak memperkenalkan pelekat keselamatan jalan raya bertemakan Hari Gawai Dayak 2025 sebagai pendekatan kreatif untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya, khususnya golongan muda.
Menterinya, YB Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelekat berkenaan yang boleh dilekatkan di dalam kenderaan, berfungsi sebagai peringatan harian tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas.
“Tahun ini juga bersempena dengan Hari Gawai, kita juga melancarkan satu kempen menggunakan pelekat kenderaan dan inisiatif ini pertama kali kita menghasilkan pelekat kenderaan ini yang kita boleh buka dan kita boleh letakkan dalam kereta, supaya ia boleh memperingatkan kita pada setiap hari untuk mematuhi segala peraturan keselamatan di atas jalan raya.
“Kita gunakan pendekatan ini kerana sempena Tahun Baharu Cina yang lalu, kita agihkan sampul angpau, pada Hari Raya kita edarkan sampul juga, tetapi pada perayaan Hari Gawai kali ini, kita agihkan pelekat kenderaan,” ujarnya semasa merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Sarawak Sempena Hari Gawai Dayak 2025 di PETRONAS Jalan Sibiyu, Bintulu pada Khamis.
Beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif ini mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda, khususnya Generasi Z dan Alpha, yang dilihat cenderung mengumpul pelekat serta melakukan aktiviti jurnal peribadi.-TVS