CYBERJAYA, 15 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan perlaksanaan Ops Gasak awal bulan ini tidak bertujuan untuk menarik subsidi ke atas gas petroleum cecair (LPG) seperti dakwaan pihak tertentu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu merupakan penguatkuasaan terhadap peruntukan sedia ada bagi membanteras aktiviti penyelewengan tong gas bersubsidi.
“Subsidi masih dikekalkan. Apa yang kita buat melalui ops ini adalah bagi memastikan kita dapat mengekang ketirisan yang berlaku terhadap subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Pelancaran Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan Sektor Peruncitan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan permintaan pengusaha dobi yang mencadangkan penangguhan Ops Gasak sehingga sesi libat urus bersama pemain industri, khususnya persatuan dobi diadakan dan persetujuan dicapai.
Armizan menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah kementeriannya itu bukan perkara baharu malah memperkasakan peraturan-peraturan telah termaktub sekian lama.
Bermula bulan ini KPDN melancarkan Ops Gasak bagi membanteras penyelewengan gas memasak bersubsidi di seluruh negara.
Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang diperkenalkan bagi menangani isu ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi secara menyeluruh. – TVS.