DARO, 15 Mei: Open Air Daro kini tampil dengan wajah baharu yang lebih cantik, ceria, selesa dan bersih hasil projek naik taraf yang dilaksanakan kerajaan demi keselesaan peniaga serta pengunjung.
Projek yang menelan belanja RM456,600 itu dikendalikan Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) selaku agensi pelaksana serta agensi teknikal berjaya disiapkan sepenuhnya baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, beliau amat berpuas hati dengan hasil kerja penambahbaikan tersebut dan percaya ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
“Saya amat gembira kerana projek ini siap sepenuhnya. Kini, Open Air Daro tampil lebih cantik, ceria, selesa dan bersih sekali gus mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang menjamu selera terutama pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Tapak Open Air Daro yang berlangsung malam tadi.
Menurutnya, usaha menaik taraf prasarana awam seperti itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mempertingkatkan kemudahan rakyat dan memacu pembangunan kawasan luar bandar.
Pada majlis sama, Safiee turut menyampaikan sumbangan Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM45,000 kepada lapan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar Daro bagi menjalankan aktiviti tahunan masing-masing.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup dan Setiausaha MDMD, Chiong Siew Ping.-TVS