MIRI, 15 Mei: Bandar raya Miri bakal menjadi tumpuan antarabangsa dengan Festival Seni dan Mural Antarabangsa Miri 2025 berlangsung pada 4 hingga 14 Jun.
Pengerusinya, Allaister Daniel berkata, tujuan utama penganjuran adalah untuk mengangkat Miri ke persada global sebagai hab seni dan budaya melalui karya mural berskala besar serta perbincangan akademik mengenai seni kontemporari.
“Pemilihan tema ‘Melangkaui Seni, Berevolusi Dalam 50 Tahun’ bertujuan membuka ruang kepada artis tempatan dan antarabangsa untuk membayangkan rupa masa depan Miri dalam lima dekad akan datang menerusi lensa seni visual,” katanya pada sidang media Melangkaui Seni, Berevolusi Dalam 50 Tahun Persidangan Seni dan Mural Antarabangsa Miri 2025 di Hotel Mercure Miri, pada Rabu.
Menurutnya, festival tersebut juga memberi tumpuan kepada keterangkuman dengan menyediakan satu dinding khas untuk pelajar berkeperluan khas menampilkan hasil seni mereka.
“Kami percaya seni ialah medium inklusif. Bakat pelajar berkeperluan khas tidak harus dipinggirkan. Mereka juga akan menjadi sebahagian daripada naratif seni yang memaparkan bagaimana Miri dilihat dari perspektif masa hadapan,” ujarnya.
Persidangan akan dijadualkan pada 13 dan 14 Jun itu dengan menghimpunkan 10 panelis dari pelbagai latar belakang termasuk pensyarah seni, pengasas galeri dan profesional industri kreatif.
Antara topik menarik yang bakal dibincangkan termasuklah seni digital dan kecerdasan buatan (AI), perjalanan menjadi seniman serta masa depan seni dalam era teknologi moden.
“Dengan kemunculan AI dan seni digital, penting untuk kita memahami bagaimana seniman dapat kekal relevan dan terus menghasilkan karya yang mampu berdiri seiring dengan perkembangan teknologi,” jelas Allaister.
Acara tersebut akan dimulakan dengan Mural Fest dari 4 hingga 11 Jun di sekitar premis Hotel Mercure Miri diikuti dengan Beyond Art Conference pada 13 dan 14 Jun.
Antara artis yang bakal terlibat termasuk bakat tempatan seperti Jagung, Sam Lim, Letterhythm dan Amey Sheikh Ali manakala artis antarabangsa merangkumi Sheep Chen, Bounce dan Helenya Apostolou.
Tiket penyertaan bagi persidangan dijual pada harga RM99 untuk sehari atau RM120 bagi dua hari manakala harga istimewa turut ditawarkan kepada pelajar sekolah serta institusi pendidikan. – TVS