KUCHING, 15 Mei: Stesen televisyen pertama Sarawak, TVS kembali menampilkan Mimpanau Kaamatan Sabah bagi Musim ke-2, iaitu sebuah program istimewa sempena musim perayaan Tadau Kaamatan dan Gawai yang menyatukan kekayaan budaya serta warisan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
TVS dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, program tersebut akan disiarkan secara eksklusif di TVS saluran 122 dari 27 hingga 31 Mei 2025, dengan menawarkan pengisian yang menyeluruh daripada dokumentari, persembahan kebudayaan, vlog pengembaraan, muzik tradisional, sajian tempatan, sehinggalah liputan langsung acara utama perayaan.
“Ia bertujuan memberi ruang kepada penonton untuk mengenali lebih dekat identiti dan semangat masyarakat Malaysia Timur yang unik dan pelbagai,” kata kenyataan itu.
Dihoskan oleh trio pengacara berbakat Jasmine Suraya, Wenanita Angang, dan Khairil Zharif, penonton juga akan dibawa menjelajah pelbagai lokasi di Sabah dan Sarawak bagi menyelami tradisi dan kemeriahan sambutan perayaan di kedua-dua negeri.
“Musim kali ini turut memperluaskan liputannya dengan memfokuskan kepada sambutan Gawai Dayak di Betong, Sarawak serta Festival Irau Aco di Lawas, menjadikan ia simbol perpaduan antara dua wilayah budaya yang kaya ini,” tambah kenyataan itu.
Antara kemuncak program ialah Majlis Perasmian Festival Kaamatan, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Acara kemuncak pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau, disiarkan secara langsung.
“Dokumentari eksklusif mengenai penanaman padi tradisional, pembuatan gong dan alat muzik etnik, serta pengembaraan gastronomi bersama komuniti tempatan,” kata kenytaaan itu lagi.
Penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan muzik dan tarian tradisional, memperlihatkan kekayaan ekspresi seni masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak.
Mimpanau Kaamatan Sabah Musim 2 bukan sekadar program hiburan perayaan, ia merupakan satu platform penceritaan yang menyatukan rakyat melalui warisan budaya, menyemai rasa bangga terhadap identiti Malaysia Timur. -TVS