KUALA LUMPUR, 15 Mei: Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan keselamatan siber di peringkat serantau dengan membangunkan ‘toolkit’ atau bagi membantu negara-negara ASEAN menangani jenayah dalam talian.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu akan menjadi panduan utama kepada negara-negara anggota memperkukuh aspek undang-undang dan kawal selia terhadap ancaman digital.
Jelas beliau sempena Kepengerusian ASEAN, Malaysia telah mencadangkan agar negara-negara anggota meneliti cara, strategi, taktik serta undang-undang yang perlu kita digunapakai serta dimanfaatkan untuk pastikan internet lebih selamat untuk semua.
“Kita telah lihat di Malaysia, kesan daripada jenayah scam, kesan daripada buli siber dan juga perlembangan fahaman ekstremis yang berleluasa dalam media sosial.
“Ini bukan masalah yang (hanya) berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 di ibu negara, hari ini.
Sementara itu Fahmi turut menjelaskan bahawa kepelbagaian tahap pembangunan digital di ASEAN telah menuntut wujudnya pendekatan bersama yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Ada negara yang jumlah penduduknya lima juta, ada yang 300 juta. Ada yang fasih berbahasa Inggeris, ada pula yang belum memiliki liputan 5G.
“Maka, kami (di kementerian) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berusaha untuk membantu rakan kitayang lain,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi kejayaan Malaysia sebagai antara negara pertama yang berjaya melesenkan aplikasi Telegram hasil pertemuan rasmi bersama pemilik platform itu di Dubai dua tahun lalu.
“Syarikat teknologi besar sering merasakan mereka lebih besar daripada negara, tapi bagi kita, undang-undang tetap lebih tinggi.
“Anda boleh jadi syarikat teknologi besar, tetapi undang-undang kami lebih tinggi dari itu,” tegasnya. -TVS.