SEREMBAN, 15 Mei: Seorang pengurus syarikat warga Bangladesh yang mengusahakan restoran mamak didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis selepas mengaku bersalah menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak seberat 1,241 kilogram (kg) di premis tidak dilesenkan.
Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Das Jhonny Chandra, 38, dan turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda dan ekshibit dilucut hak kepada pihak pendakwaan serta pasport dikembalikan.
Mengikut pertuduhan, Das Jhonny didapati menyimpan minyak masak itu dalam tong ‘jerry’ di premis yang tidak dilesenkan oleh pegawai bekalan untuk tujuan berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah asrama pekerja restoran di Dataran Sentral Seremban lebih kurang pukul 3.15 petang pada 26 April 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Ashok Atimulan yang mewakili orang kena saman (OKS) dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak selain perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua di negaranya dan telah insaf atas kesalahan dilakukan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd. Sanusi berkata, pindaan kadar denda daripada RM100,000 kepada RM1 juta yang diluluskan di Parlimen menunjukkan kesalahan berkenaan adalah serius.
Beliau turut memohon mahkamah melihat faktor kepentingan awam kerana dalam kes ini barang terlibat adalah barang kawalan minyak masak. – TVS.