MUKAH, 15 Mei: Kelab Perahu Naga Kasihnya Warisan yang bergabung bersama Kelab Sosial Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dengan menggunakan nama LANDAS Kasihnya Warisan akan menggalas cabaran Bahagian Mukah di Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa yang akan berlangsung di Likas Bay, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 hingga 18 Mei ini.
Pasukan LANDAS Kasihnya Warisan yang dianggotai oleh 30 orang pengkayuh berangkat ke Sabah hari ini.
Sebelum berangkat ke Sabah, Penaung Kelab Perahu Naga Kasihnya Warisan, Abdul Yakub Arbi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian hadir menyampaikan sokongan serta suntikan semangat kepada para pengkayuh.
Dalam ucapannya, Yakub menekankan bahawa disiplin dan usaha gigih merupakan tunjang utama kejayaan dalam apa jua bidang, termasuk dalam sukan kompetitif seperti perlumbaan perahu naga.
Beliau turut menggesa para pengkayuh agar mengekalkan semangat berpasukan, dedikasi dan komitmen sepanjang pertandingan.
Pasukan Landas Kasihnya Warisan dijadualkan menyertai tiga kategori utama, iaitu, Sabah of State Trophy, Sabah Chief Minister Trophy dan Kinabalu Dragon Trophy.
Pasukan ini akan meneruskan cabaran ke Perlumbaan Perahu Naga Lawas 2025 pada 24 hingga 25 Mei 2025 di Lawas.