Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di bawah Inisiatif Baharu Peringkat Kedua NCR bagi kawasan Bintulu, hari ini. Foto TVS

Kerjasama pemilik tanah penting percepat proses penyukatan

BINTULU, 15 Mei: Pemilik tanah diminta memberikan kerjasama penuh dalam proses penyukatan tanah bagi mempercepatkan pengeluaran surat hak milik individu di bawah inisiatif tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, kehadiran pemohon di lapangan amat penting bagi membantu pasukan teknikal mengenal pasti sempadan tanah yang dipohon sekali gus melancarkan kerja-kerja penyukatan.

“Kerja-kerja ini (penyukatan NCR) akan kita teruskan sekiranya terdapat permintaan dan untuk mempercepatkannya kita perlukan notis yang akan membantu kita untuk turun ke lapangan untuk kerja-kerja penyukatan.

“Bagi permohonan secara individu, lebih-lebih lagi yang mempunyai persempadanan, anda semua yang lebih tahu kedudukan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di bawah Inisiatif Baharu Peringkat Kedua NCR bagi kawasan Bintulu, di sini, hari ini.

Awang Tengah menjelaskan, kerja-kerja penyukatan di lapangan seperti penyediaan rintis dan penandaan sempadan yang dipersetujui memerlukan kerjasama semua pihak, terutamanya ketua masyarakat dan pemilik tanah.

Katanya, antara punca utama kelewatan proses penyukatan adalah disebabkan ketiadaan pemilik tanah ketika pasukan teknikal berada di lokasi, menyebabkan jadual kerja terganggu dan terpaksa dijadualkan semula.

“Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos penyukatan dan ini adalah peluang terbaik untuk rakyat mendapatkan hak milik tanah secara sah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat tuntutan terhadap tanah yang bukan milik mereka bagi mengelakkan pertikaian dan pencerobohan hak milik.

Awang Tengah turut menegaskan bahawa kerajaan negeri hanya akan mempertimbangkan permohonan tanah NCR yang disertakan bukti kukuh dan dokumen lengkap.

“Saya tidak mahu berlaku pencerobohan di sana sini. Jangan sesekali berbuat demikian kerana kalau itu adalah hak kita, kita buat permohonan sewajarnya.

“Saya sudah memberitahu bahawa kerajaan mengiktiraf tanah hak adat Bumiputera (NCR) asalkan ia mempunyai bukti yang cukup dan bukti yang kita kemukakan itu mestilah yang sah,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan