BAU, 15 Mei: Projek naik taraf jalan dari Bau ke Kuching kini sedang dilaksanakan dengan penuh komitmen sebagai salah satu usaha strategik Kerajaan Negeri Sarawak memperkukuh infrastruktur asas.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ia sekali gus menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Daerah Bau serta kawasan sekitarnya.
Menurutnya, jalan yang menghubungkan dua bandar utama itu akan dinaik taraf dari laluan satu lorong kepada dua lorong bertujuan meningkatkan keselamatan, kelancaran lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan.
“Kami menyedari keperluan untuk menambah baik infrastruktur yang amat diperlukan antaranya adalah menaik taraf Jalan Bau-Kuching daripada laluan satu lorong (single carriageway) kepada dua lorong (dual carriageway). Fasa pertama kini sedang dalam proses pembinaan manakala fasa kedua akan dijalankan tidak lama lagi.
“Dengan jarak kira-kira 35 kilometer, Jalan Bau-Kuching bukan sahaja penting sebagai laluan penghubung utama antara pusat pentadbiran daerah dan ibu negeri tetapi juga menjadi nadi penggerak ekonomi bagi sektor perdagangan, pelancongan, dan perindustrian.” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini.
Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, naik taraf jalan tersebut membolehkan pergerakan kenderaan lebih lancar dan selamat terutama bagi kenderaan berat dan pengangkutan barangan yang selama ini menghadapi cabaran kesesakan dan keadaan jalan yang kurang memuaskan.
Selain aspek ekonomi katanya, projek tersebut memberi fokus kepada keselamatan jalan raya melalui reka bentuk yang memenuhi piawaian antarabangsa serta memasukkan kemudahan tambahan seperti lorong kecemasan, sistem pengurusan trafik pintar,dan pencahayaan jalan lebih baik.
“Ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa untuk semua pengguna jalan,” ujarnya. -TVS