BAU, 15 Mei: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan hak negeri ini dalam sektor minyak dan gas, khususnya yang berkaitan dengan sumber asli dari wilayah Bumi Kenyalang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendirian tegas ini penting bagi memastikan hasil kekayaan negeri terus dinikmati oleh rakyat Sarawak dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan nasional.
Abang Johari menambah hak negeri yang termaktub dalam perundangan menjadi keutamaan dalam memastikanya dikembalikan terutama dalam hal pengurusan sumber tenaga.
“Sebagai ketua negeri, saya akan mempertahankan hak kita hak yang ada pada Sarawak, kita maju dengan pendapatan lebih RM15 bilion setahun kerana kita bekerja keras, rakyat bersatu padu walaupun politik ada cabarannya,” katanya
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu antara Petronas dan Petros berhubung penentuan penyelarasan peranan kedua-dua syarikat minyak tersebut.
Menurut beliau, penubuhan syarikat minyak milik negeri adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan kawalan ke atas sumber asli Sarawak dan memastikan hasilnya disalurkan kembali kepada pembangunan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil kerja keras, perpaduan dalam kerajaan negeri, serta keberanian menghadapi cabaran politik yang kompleks.-TVS