Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Kaji semula silibus tadika, tingkat kualiti guru depani cabaran

ByRegina Lee

KUCHING, 15 Mei: Langkah menyemak semula kurikulum prasekolah serta mempertingkat kualiti guru dilihat sebagai antara tonggak penting dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri yang mampu melahirkan modal insan berilmu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan keupayaan itu, Sarawak bersedia mengemudi cabaran masa depan berasaskan teknologi dan inovasi.

Menurutnya Kerajaan Sarawak memberi tumpuan serius terhadap pembangunan pendidikan awal kanak-kanak sebagai langkah strategik menghadapi cabaran teknologi dan perubahan global.

“Saya sudah berkata kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah untuk mengkaji semula silibus tadika serta kualiti guru-guru kita dari semua peringkat kerana semuanya bermula dari situ pembentukan insan sejak awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 2025, yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Majlis Malam Berambeh Segulai Sejalai sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, malam ini. Foto UKAS

Beliau turut mengangkat kepentingan ilmu sebagai asas ketamadunan dan kelangsungan hidup masa depan, terutama dalam dunia yang semakin kompleks dengan pelbagai ketidaktentuan.

“Kalau kita mahu menyumbang ke arah mitigasi karbon dan menggantikan bahan api fosil, mahu tidak mahu kita mesti ada kekuatan dalam ilmu sains,” ujarnya, merujuk kepada inisiatif Sarawak membangunkan teknologi hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif.

Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan Sarawak dari peringkat awal hingga ke pengajian tinggi.

Menurutnya ia sebagai sebahagian daripada pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat berpengetahuan tinggi.

“Pendidikan ini tidak mempunyai garis batasan, ia adalah satu tanggungjawab untuk kita mendidik masyarakat dengan ilmu yang terkini bagi menghadapi kehidupan dan mengangkatkan martabat manusia itu sendiri,” katanya lagi.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan