BAU, 15 Mei: Pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin disifatkan sebagai sebuah pusat ekonomi dan sosial yang akan membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dan pelancongan serantau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep berkata, ia dijangka menjadi pemangkin kepada zon ekonomi sempadan dengan mewujudkan pusat logistik moden, zon perdagangan bebas dan kompleks perbelanjaan bebas cukai yang akan menarik pelabur antarabangsa.
“Terletak hanya empat kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia dan 21 kilometer dari Bandar Bau, projek ini bukan sekadar kemudahan sempadan biasa tetapi sebuah gerbang strategik yang menghubungkan dua negara serantau, Malaysia dan Indonesia.
“Dengan kemudahan lebih canggih dan efisien, pergerakan barangan dan pelancong antara kedua-dua negara akan dipermudahkan, menjadikan Bau sebagai pintu masuk pelancongan dan perdagangan serantau yang berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) berkata, ia sekali gus membawa peluang ekonomi signifikan termasuk penciptaan pelbagai pekerjaan dalam sektor logistik, pelancongan, dan perkhidmatan.
“Usahawan tempatan pula berpotensi menikmati peningkatan aktiviti ekonomi melalui pertambahan pelancong dan perdagangan rentas sempadan,” ujarnya.
Menurutnya, pembangunan ICQS Serikin turut mencerminkan visi jangka panjang selari Pelan Induk Bau 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12 yang menekankan pembangunan pelancongan warisan, kebudayaan dan ekopelancongan berteraskan komuniti.
Sehubungan itu katanya, dengan komitmen penuh Kerajaan Sarawak, Kompleks ICQS Serikin bukan sahaja menjadi lambang kemajuan infrastruktur malah simbol transformasi ekonomi sosial yang inklusif untuk masa depan Bau dan kawasan sempadannya.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang serta Pengarah Urusan Tecktonic & Son Holdings Seb Bhd Lee Chin Teck.-TVS