BETONG, 15 Mei: Ibu bapa disaran agar tidak melepaskan tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya kepada guru atau pihak sekolah semata-mata.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, menegaskan bahawa pendidikan anak-anak perlu disokong secara berterusan di rumah bagi memastikan keberkesanan usaha yang dimulakan di sekolah.
“Peranan pendidikan masa kini telah banyak berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi turut dididik sebagai modal insan berilmu sebagai pewaris negara di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Kedit di Dewan SMK Datuk Patinggi Kedit, Betong pada Khamis.
Bagi memastikan sistem pendidikan kekal dinamik dan prgresif tambahnya, semua pihak terlibat harus bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara seiring dengan peredaran zaman.
“Dengan kata lain, kita perlu melahirkan pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti dalam usaha melahirkan aspurasi dan agenda negara,” katanya.
Dengan itu jelasnya, adalah amat penting bagi golongan ibu bapa untuk bermuhasabah diri serta tidak sama sekali menyerahkan tanggungjawab mendidik anak masing-masing kepada guru di sekolah.
Masa sama katanya, para guru juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam mrlaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.
Ujarnya, tindakan menganjurkan majlis kesyukuran di sekolah juga selari dengan matlamat bagi memberi dorongan dan motivasi kepada para pelajar untuk meneruskan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan.
Untuk rekod, terdapat seramai 83 orang calon daripada SMK Datuk Patinggi Kedit, Betong telah mengambil bahagian dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Daripada jumlah itu, seramai 25 orang calon telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dan ke atas.
Dengan kejayaan itu, menyaksikan SMK Datuk Patinggi Kedit berjaya menduduki tempat pertama diantara sekolah-sekolah menengah dalam Bahagian Betong dengan Gred Purata Sekolah (GPS) keseluruhan sebanyak 4.69. – TVS