PETALING JAYA. 15 Mac: Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski memberi bayangan beberapa pemain warisan akan dipanggil menyertai kem latihan pusat pada awal Jun depan sekali gus berpontensi untuk diturunkan menentang Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Cklamovski berkata, sekiranya urusan dokumentasi diselesaikan, kesemua pemain warisan itu akan melaporkan diri pada fasa ketiga latihan pusat dengan skuad negara yang dijadual akan menentang Cape Verde dalam perlawanan latihan yang diadakan secara tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
“Kami tidak dapat mengesahkannya hari ini, tetapi saya memberi jaminan. Kita mempunyai berita baik untuk pasukan kebangsaan, kehadiran mereka bakal mengukuhkan skuad.
“Apa yang paling penting kesemua pemain ini adalah warga Malaysia dan apabila mereka menyertai kita kelak mereka akan tunjukkan kepada semua bahawa mereka akan bermain untuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pemain ke latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Teknikal Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Dalam sidang media itu, Cklamovski mengumumkan seramai 38 pemain dipanggil untuk menyertai latihan pusat yang diadakan bermula 18 Mei hingga 3 Jun 2025.
Cklamovski menjelaskan, latihan pusat kali ini akan berjalan dalam tiga fasa dengan skuad Harimau Malaya dijadual akan berdepan pasukan ranking ke 72 dunia, Cape Verde sebanyak dua kali pada 29 Mei dan 3 Jun dalam perlawanan persahabatan sebelum membuat perhintungan sebenar dengan Vietnam pada 10 Jun.
“Tiga fasa ini agak unik dengan kita melakukannya kerana mengambil kira situasi semasa pasukan kebangsaan.
“Liga Super tamat pada penghujung April, musim yang panjang iaitu 15 bulan atau 16 bulan, jadi pemain yang dipanggil memerlukan sedikit rehat.
“Pemain fasa satu mempunyai cuti empat minggu dengan pemain yang hadir pada fasa kedua juga akan mempunyai tempoh rehat yang sama. Kesemua mereka selepas itu akan lebih bersedia untuk menyertai latihan pusat.
“Fasa ketiga pula selama dua minggu dengan kami berharap untuk membawa masuk beberapa pemain warisan bagi menghadapi perlawanan penting menentang Vietnam,” katanya.
Dalam senarai kali ini, Cklamovski mengekalkan seramai 25 pemain skuad yang menentang Nepal pada Mac lalu, selain memanggil beberapa muka baharu terdiri daripada pemain bawah 23 tahun (B-23), antaranya dua pemain Johor Darul Takzim II, Muhammad Alif Ahmad dan Muhammad Shafizan Mohamad Arshad serta tiga tiga pemain Selangor II, Muhammad Abu Khalil, Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon dan Muhammad Aiman Hakimi Othman.
“Ia bukan sahaja akan membantu pemain dalam semua peringkat umur dari senior hingga pasukan remaja tetapi juga akan membantu jurulatih untuk membina pasukan negara di masa hadapan,” jelasnya.
Turut mencuri tumpuan pada senarai kali ini ialah pemilihan dua pemain yang kurang mendapat minit permainan bersama kelab iaitu Junior Eldstal dan Hong Wan dari Johor Darul Ta’zim (JDT). – TVS