TELOK MELANO, 15 Mei: Kawalan keselamatan perairan Sarawak dipertingkatkan melalui penempatan bot peronda baru di Sematan dan pemasangan sistem radar di Tanjung Datu yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun ini.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairi Abd Aziz, menjelaskan bahawa langkah berkenaan antara sebahagian daripada usaha strategik untuk mempertingkatkan pengawasan di perairan.
“Radius kawalan ini mencecah 40 kilometer dari Sematan hingga ke Teluk Melano dan Tanjung Datu.
“Sebelum ini, rondaan yang bergerak dari Muara Tebas mengambil masa yang panjang. Oleh itu, dengan adanya bot baru di Sematan, keupayaan bertindak balas kini jauh lebih pantas,” katanya ketika ditemui media sewaktu Program Sahabat Maritim di Telok Melano, semalam.
Menurut beliau, pemasangan radar di Tanjung Datu akan membolehkan pemantauan berterusan terhadap sebarang pergerakan kapal atau aktiviti pencerobohan, terutamanya oleh nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Bercakap mengenai program dua hari itu, Mohd Khairi berkata ia memberi tumpuan kepada pendidikan undang-undang maritim kepada komuniti nelayan tempatan.
Selain itu, katanya program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan dan kerjasama antara penduduk serta agensi penguat kuasa.
“Kita perlukan komuniti sebagai rakan strategik kerana mereka adalah mata dan telinga kami dalam mengenal pasti sebarang aktiviti mencurigakan di laut,” jelas beliau.
Manakala dalam perkembangan lain, Mohd Khairi juga memaklumkan bahawa sebuah kapal besar yang sedang dibina di Turki dijangka tiba pada tahun 2027.
Kapal tersebut jelasnya berkemungkinan akan ditempatkan di perairan Sarawak untuk memperluaskan rondaan, terutamanya di kawasan pelantar minyak dan beting-beting di negeri ini.
Sebagai persediaan, ujarnya peruntukan telah diluluskan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak untuk memanjangkan jeti di Muara Tebas, yang bertujuan untuk menampung aset maritim berskala besar. – TVS