KUCHING, 15 Mei: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) menerusi AZAM Young Souls (AYS) menjalinkan kerjasama dengan OIC Youth Indonesia di Jakarta.
Menerusi kunjungan hormat AYS kepada OIC Youth Indonesia, kedua-dua pihak berkongsi pandangan dan pengalaman serta merancang potensi kolaborasi dalam pelbagai inisiatif yang menumpukan kepada pembangunan kepimpinan, inovasi sosial dan advokasi belia Islam serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada usaha membentuk generasi belia berwawasan global tanpa mengabaikan nilai dan akar budaya tempatan.
“Melalui jaringan bersama OIC Youth Indonesia, kita bukan sahaja mewujudkan ruang pertukaran idea dan nilai malah membuka lembaran baharu untuk program bersama yang boleh memberi impak besar kepada pembangunan belia di rantau ini,” katanya.
Kunjungan delegasi AZAM tersebut disambut Presiden OIC Youth Indonesia, Astrid Nadya Rizqita bersama 10 wakil pemimpin belia tempatan.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Perhubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim berkata, lawatan tersebut adalah platform untuk menjana sinergi aktif antara belia dua negara.
“Kami percaya kolaborasi ini mampu mencetuskan projek kepimpinan, keusahawanan sosial dan inovasi digital yang mampu memberi manfaat terus kepada komuniti,” ujarnya.
Antara cadangan program bersama yang dikemukakan termasuklah kem kepimpinan serantau, inisiatif belia berteraskan SDGs, pertukaran budaya dan simulasi Model OIC.
Turut dikongsi adalah kejayaan AYS dalam memperkasa belia luar bandar melalui platform komunikasi dan relawan serta kepentingan pemerkasaan belia dengan pendekatan digital dan nilai berteraskan kemasyarakatan.-TVS