Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Bau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara holistik kerana kekayaan aset semula jadi, warisan sejarah dan perpaduan masyarakat berbilang kaum. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Bau dijulang sebagai ‘Taman Tema’ Sarawak, bakal jadi hab pembangunan moden

BAU, 15 Mei: Kerajaan Sarawak komited menjadikan daerah Bau sebagai sebuah pusat pembangunan moden dan mampan dengan identiti baharu sebagai ‘Taman Tema’ Sarawak yang menonjolkan gabungan pelancongan, alam semula jadi, budaya dan pendidikan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara holistik kerana kekayaan aset semula jadinya yang unik, warisan sejarah yang kuat dan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

“Bau adalah permata tersembunyi dengan landskap semula jadi yang menakjubkan, warisan sejarah yang kaya serta masyarakat berbilang kaum yang harmoni,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pembangunan Bau akan diteruskan secara lestari dengan memanfaatkan kekuatan modal semula jadi dan modal insan.

“Kerajaan komited untuk memastikan pembangunan ini berjalan secara lestari, menggabungkan modal semula jadi dan modal insan,” katanya.

Abang Johari turut berkongsi visi menjadikan Bau sebuah kawasan pembangunan seimbang, seiring model ‘Taman Tema’ seperti yang pernah dilaksanakan di Selangor, lengkap dengan universiti, hospital bertaraf dunia, hotel dan pelbagai kemudahan moden yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta sosial.

“Kami mahu Bau menjadi contoh bagaimana sebuah kawasan dengan akar budaya dan sejarah yang kuat boleh berubah menjadi hab ekonomi dan pelancongan yang unggul,” katanya.

Beliau turut menyeru kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam menjayakan transformasi besar ini.

“Transformasi Bau memerlukan sokongan semua pihak. Kita harus berganding bahu untuk memastikan setiap pembangunan memberi manfaat yang adil dan mampan kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pelbagai inisiatif pemeliharaan alam sekitar sedang dilaksana oleh kerajaan negeri, termasuk usaha besar-besaran menanam pokok untuk memelihara sumber oksigen.

“Dalam dua tahun terakhir, Sarawak telah menanam 35 juta pokok, jumlah terbesar di Malaysia sebagai usaha untuk memastikan sumber oksigen terus meningkat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membina modal insan menerusi penyediaan pendidikan percuma di peringkat universiti bagi anak-anak Sarawak yang layak.

“Kerajaan GPS di bawah pimpinan saya memberikan pendidikan percuma di universiti kepada anak-anak Sarawak yang layak dan kita bayar yuran mereka dengan percuma walaupun anak petani atau kurang berkemampuan,” ujarnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan