Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Barry Edmond berkata United Technology mahu memperkenalkan pensijilan antarabangsa kepada jurukimpal tempatan. Foto Awang Azmil (TVS)

United Technology fokus lahir tenaga mahir bertaraf antarabangsa di Sarawak

ByWilly Jali

KUCHING, 14 Mei: United Technology Malaysia Sdn Bhd menegaskan komitmennya dalam memperkukuh pembangunan tenaga mahir di Sarawak, khususnya dalam sektor minyak dan gas serta pembinaan.

Menerusi penyertaan kali pertama di Minggu Pembinaan Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), syarikat tersebut tampil dengan objektif jelas untuk menyokong industri tempatan melalui penyediaan jurukimpal bertauliah dan terlatih.

Pengarahnya, Barry Edmond berkata bahawa kehadiran United Technology di ICW bukan sekadar untuk mempamerkan kepakaran mereka, malah sebagai satu langkah strategik untuk memperkenalkan inisiatif pensijilan antarabangsa kepada jurukimpal tempatan di Sarawak.

“Objektif utama kami di Sarawak adalah untuk menunjukkan komitmen dalam menyokong industri minyak dan gas serta sektor pembinaan berat, khususnya melalui penyediaan jurukimpal yang bertauliah dan terlatih.

“Sehubungan itu, kami telah bekerjasama dengan CIDB Technologies Kuching dan merancang untuk menjadikan fasiliti tersebut sebagai pusat ujian yang diiktiraf oleh American Welding Society,” katanya ketika ditemui pada ICW di BCCK, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kerjasama ini bertujuan untuk mempromosikan pensijilan antarabangsa kepada jurukimpal tempatan di Sarawak agar mereka diiktiraf di peringkat global dan mampu menyumbang kepakaran mereka di dalam dan luar negara.

Bekerjasama erat dengan American Welding Society (AWS) dan Curious Engineering, UTM turut merancang untuk menjadikan fasiliti CIDB Technologies Kuching Sdn Bhd sebagai pusat ujian yang diiktiraf oleh AWS.

Jelas Barry, insiatif tersebut bertujuan membolehkan pekerja tempatan memperoleh pensijilan antarabangsa, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di pasaran global.

“Sebagai rakan strategik CIDB dalam ujian kimpalan dan fasiliti ujian yang diiktiraf, kami melihat ICW sebagai platform yang berpotensi tinggi untuk menjalin kerjasama dan membina jaringan dengan pemain industri dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan berat.

“Setakat ini, kami telah berjaya mewujudkan hubungan yang kukuh dengan beberapa syarikat sepanjang acara berlangsung dan kami akan terus berusaha untuk memperluaskan jaringan kami dengan organisasi lain yang berpotensi besar dalam industri,” katanya.

United Technology merupakan rakan strategik CIDB dalam penyediaan fasiliti ujian kimpalan dan berharap penglibatan mereka dalam ICW akan terus berkembang termasuk pada acara seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

Dengan misi untuk meningkatkan kemahiran tempatan ke tahap global, kehadiran United Technology di Sarawak dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan modal insan dalam industri berat dan tenaga. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan