KUCHING, 14 May: Tabung Darah Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengesan dan menghantar darah jenis Rh17 iaitu salah satu kumpulan darah paling jarang ditemui di dunia bagi menyelamatkan nyawa seorang pesakit di Kuala Lumpur.
Menurut satu hantaran di Facebook Tabung Darah Hospital Umum Sarawak, pendermanya, Vencent Voon Sin Thung tampil sebagai wira selepas menderma darahnya bagi dihantar segera ke Kuala Lumpur untuk membantu seorang wanita yang memiliki jenis darah serta mengalami kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy) dan perlu menjalani pembedahan kecemasan.
“Pesakit berkenaan hanya boleh menerima darah daripada individu yang mempunyai kumpulan darah Rh17 sahaja,” catat kenyataan terbabit.
Kenyataan turut mendedahkan sebarang transfusi daripada kumpulan darah lain boleh menyebabkan reaksi hemolitik akut yang boleh mengancam nyawa.
“Kami amat berterima kasih kepada Encik Vencent atas sumbangan luar biasa ini.
Beliau adalah hero sebenar,” kata wakil pesakit.
Dengan ini, pihak hospital dan Tabung Darah Sarawak turut berharap kejayaan ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah, khususnya bagi kumpulan darah yang jarang ditemui.
Difahamkan kumpulan darah Rh17 amat sukar diperoleh dan hanya dimiliki oleh sebahagian kecil individu, termasuk dalam kalangan etnik Bidayuh di Sarawak.
Tabung Darah Hospital Umum Sarawak memberitahu jenis darah berkenaan jarang dikesan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Jenis darah ini memerlukan pangkalan data penderma yang amat khusus,” catat kenyataan terbabit.