LAWAS, 14 Mei: Sungai Lawas bakal berkocak dengan penyertaan kira-kira 28 pasukan dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan memeriahkan Perlumbaan Perahu Naga di Tebingan Sungai Lawas pada 22 hingga 25 Mei 2025.
Pengerusi penganjur Liaw Cheng Heng berkata Lawas menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi festival bertaraf antarabangsa yang menggabungkan perlumbaan perahu naga, persembahan tarian rakyat dan festival makanan dalam satu program mega.
Festival yang dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu turut menampilkan persembahan tarian rakyat daripada 25 kumpulan pelbagai etnik dan festival makanan.

“Festival ini juga akan menampilkan persembahan pentas hiburan daripada artis tempatan dan luar, jualan makanan dan produk tempatan serta pameran dan penjualan pakaian serta barangan keperluan harian oleh usahawan kecil dan penjaja tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liaw berkata festival yang bertemakan memartabat budaya, menggalak pelancongan, bertujuan untuk memelihara warisan budaya tempatan, menggalakkan gaya hidup sihat melalui seni tari, serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama melalui sukan tradisional seperti perahu naga.
“Festival ini juga dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat dengan memberi ruang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.