KUCHING, 14 Mei: Institut Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Sarawak (SiADR) telah memperkenalkan barisan kepimpinan baharu bagi tahun 2025 dalam satu kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, hari ini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Yew Jen Kie bagi bertujuan memaklumkan perkembangan semasa aktiviti serta peranan institusi itu dalam mempromosikan penyelesaian pertikaian secara alternatif di negeri Sarawak.
Tun Dr Wan Junaidi, dalam satu kenyataan hari ini, merakamkan penghargaan terhadap usaha murni SiADR dalam memperkukuh sistem penyelesaian pertikaian yang bebas dan profesional.
Beliau menyatakan bahawa inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan akses kepada keadilan serta memperkasakan kapasiti institusi guaman dan kehakiman di negeri ini.
Tun Dr Wan Junaidi turut menyambut baik usaha kerjasama strategik antara SiADR dan institusi-institusi kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia dalam bidang timbang tara, mediasi dan penyelesaian pertikaian alternatif.
SiADR, yang ditubuhkan pada tahun 2024, berperanan memperkasa perkhidmatan timbang tara dan mediasi sebagai mekanisme penyelesaian yang cekap, kos efektif dan inklusif untuk masyarakat serta sektor korporat di Sarawak.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SiADR, Senator Robert Lau Hui Yew, Penasihat SiADR, Dato’ Lee Heng Cheong serta barisan ahli tertinggi institusi itu yang lain. – TVS