SARIKEI, 14 Mei: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh kebajikan penjawat awam dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk membina kuarters kerajaan baharu yang moden di seluruh wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif bagi kakitangan awam khususnya di kawasan luar bandar dan sering berdepan dengan kekurangan kemudahan perumahan.
“Di kawasan saya sendiri, di Gedong, tiada kuarters disediakan untuk doktor. Kita terpaksa menyewa rumah penduduk kampung untuk mereka tinggal. Dari situ timbulnya idea dan inspirasi untuk membina kuarters baharu dan moden yang lebih selesa,” katanya.
Menurut Abang Johari, kuarters baharu ini bakal dibangunkan dalam bentuk apartmen moden yang direka khas untuk memenuhi keperluan masa kini.
Ia akan dikendalikan oleh sebuah agensi khas bagi menjamin penyelenggaraan yang profesional, cekap, dan sistematik.
“Kita juga akan beri kemudahan di kawasan berdekatan dengan tempat rekreasi seperti yang saya sebut tadi (gym). Ia adalah pusat gaya hidup yang lengkap. Kita mahu penjawat awam kita berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat,” jelas beliau.
Beberapa lokasi strategik telah dikenal pasti dan diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pembinaan projek ini.
Menurutnya, keutamaan diberikan kepada kawasan berhampiran pejabat kerajaan dan kemudahan awam seperti stadium dan pusat riadah. – TVS