JOHOR BAHRU, 14 Mei: Sarawak dan Sabah menjadi wilayah perintis melaksanakan sistem pengezonan (zoning) untuk pengedaran minyak masak paket bersubsidi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam NegeriĀ dan Kos Sara Hidup, DrĀ Fuziah Salleh berkata pendekatan itu diambil untuk menyelesaikan isu bekalan tidak cukup di kawasan tertentu.
Pada masa sama jelas beliau, ia dilakukan bertujuan memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dapat diagihkan secara lebih efektif, terutama untuk memenuhi keperluan masyarakat di kawasan pedalaman.
“Pelaksanaan pengezonan membolehkan syarikat pembungkus dan pemborong minyak masak memberi fokus kepada kawasan masing-masing.
“Sistem ini memastikan pengedaran lebih tertumpu kepada keperluan kawasan setempat, terutamanya di kawasan pedalaman yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan,ā katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan, kementerian akan memantau rapi pelaksanaan sistem pengezonan ini bagi memastikan keberkesanannya.
“Saya yakin langkah ini mampu mengurangkan isu kekurangan minyak masak bersubsidi di kawasan yang memerlukan, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Sebelum ini, masalah pengedaran minyak masak bersubsidi sering menjadi keluhan, terutama di kawasan terpencil yang menghadapi cabaran logistik,” katanya.
Beliau memberitahu, kementerian akan memperluaskan pelaksanaan sistem itu di Semenanjung Malaysia bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar. -TVS.