KUCHING, 14 Mei: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat sembilan kejayaan dalam siri Op Taring Alpha, Bravo dan Awas/Batas dengan jumlah rampasan keseluruhan mencecah RM6.09 juta pada Mei 2025.
Timbalan Komander Briged Sarawak, PGA, ACP Rosdi Inai berkata kejayaan terbesar dicatat menerusi serbuan di sebuah premis di Miri pada 7 Mei lalu, membabitkan rampasan rokok dan minuman keras belum lulus cukai kastam bernilai RM3.09 juta.
“Dalam operasi itu, sepasukan polis daripada Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri menahan tiga lelaki, termasuk seorang warga Indonesia berusia 28 tahun.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 7,400 karton rokok putih, 3,160 karton rokok kretek dan 201 karton minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, dua tangkapan turut dilakukan di Kuching membabitkan rampasan 2,848 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1.01 juta serta 1,428 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM69,853 yang dibawa menggunakan pacuan empat roda.
“Tangkapan di Kuching dan Lundu hasil tindakan Cawangan Risik Batalion 11 PGA dan anggota infantri PGA yang menjalankan rondaan dan serbuan di lokasi dikenal pasti sebagai pusat penyimpanan barangan seludup,” katanya.
Sementara itu, tiga lagi tangkapan dilakukan di Lundu membabitkan rampasan 16,200 kilogram bawang besar, 4,182 kilogram minyak masak dan sejumlah barangan sejuk beku, masing-masing bernilai RM924,000, RM228,855 dan RM385,000.
Barangan itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran tanpa permit sah dan disembunyikan dalam muatan lori.
Rosdi berkata, rampasan turut dibuat di sempadan Sarawak-Kalimantan apabila pasukan infantri PGA menemui 244 karton rokok disorokkan dalam plastik hitam, disyaki cuba diseludup menggunakan jalan tikus di kawasan Tebedu.
“Dalam serbuan berasingan di Debak, Sri Aman pula, anggota Batalion 23 PGA Sri Aman menahan seorang lelaki berusia 40 tahun dan merampas 1,260 liter petrol, 750 liter diesel serta 20 tong gas LPG.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM211,545 dan kes disiasat mengikut Ordinan Pengagihan Gas 2016 serta Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan turut dicatat di Lubok Antu membabitkan penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang membawa 100 kilogram minyak masak dan 20 kilogram beras menggunakan motosikal melalui jalan tidak diwartakan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan sudah diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut,” katanya.