SARIKEI, 14 Mei: Kewujudan Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi menjadi bukti kukuh bahawa kerajaan tidak sekadar menabur janji, sebaliknya benar-benar komited dalam merealisasikan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Seri Huang Tiong Sii berkata, projek yang sekian lama dinantikan itu bakal membawa impak besar kepada pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Sarikei.
“Projek ini akan membuka lebih banyak peluang dalam sektor ekonomi terutamanya perniagaan dan pertanian, di samping memudahkan urusan harian penduduk tempatan.
“Saya amat gembira kerana impian kita akhirnya menjadi kenyataan. Ini merupakan satu projek penting yang akan mengubah landskap pembangunan Sarikei secara menyeluruh,” katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Manta Gawai di sini malam tadi.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, jambatan itu bukan sahaja mengurangkan masa perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis, malah turut meningkatkan akses kepada pelbagai kemudahan dan perkhidmatan awam.
“Ini merupakan satu kejayaan besar buat Sarikei. Saya yakin projek ini akan membawa kemakmuran dan manfaat berpanjangan kepada penduduk.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas komitmen beliau merealisasikan projek ini,” tambahnya.
Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi adalah sebahagian inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan jalan raya serta mempertingkatkan infrastruktur negeri, khususnya di kawasan luar bandar.
Majlis Makan Malam Manta Gawai yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu diadakan sebagai simbolik kepada ketibaan perayaan Gawai, sambutan masyarakat Dayak yang semakin hampir. -TVS