KUCHING, 14 Mei: Populasi ikan asing invasif diyakini memberi ancaman kepada kelestarian ekosistem akuatik di Sarawak berikutan kemampuan ikan penakluk itu membiak dengan pantas serta hidup dalam air tercemar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sekiranya tindakan dan kawalan tidak dilakukan segera termasuk menghalang pihak yang gemar melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum ianya boleh menjejaskan spesies ikan asli tempatan.
Menurutnya lagi, program yang julung kali dijalankan di Sarawak ini memburu spesies ikan asing seperti ikan bandaraya (pleco) dan tilapia hitam yang mempunyai populasi yang tinggi termasuk ikan asing yang paling dominan dan sukar dihapuskan seperti baung ekor merah (Redtail Catfish), peacock bass, pacu dan ikan keli Afrika.
“Saya amat menyokong usaha baik Jabatan Pertanian Sarawak dalam mengambil inisiatif ini sebagai titik permulaan dan komitmen Kerajaan Sarawak yang komited dalam mencegah, mengawal dan membasmi spesis ikan asing ini.
“Penglibatan serta kerjasama kita semua termasuklah semua masyarakat di negeri ini amatlah penting dalam menjadi mata dan telinga dalam melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penemuan spesies ikan asing invasif ini di perairan darat,” katanya
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben semasa Program Perburuan Ikan Asing Invasif Di Sarawak 2025 di Kuching pada Rabu.
Tambahnya penambahan senarai spesies ikan asing invasif tersebut telah dimasukkan ke dalam cadangan pindaan Ordinan Perikanan Negeri 2003 yang kini sedang diperhalusi dan menjadi langkah utama Kerajaan Sarawak dalam pengurusan serta penguatkuasaan menyekat penyebaran spesies-spesies asing invasif ini.
Ujarnya lagi, program ini amat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan memelihara ekosistem perairan dan sumber perikanan negara selain menekankan sokongan penuh semua pihak dalam membantu pemuliharaan biodiversiti perairan Sarawak.
Bermula 13 hingga 15 Mei 2025 sebanyak 43 kakitangan Jabatan Pertanian Sarawak bersama beberapa agensi lainnya dan dibantu komuniti nelayan darat daripada kawasan terdekat akan menjalankan aktiviti utama perburuan Ikan Asing Invasif di Sungai Sarawak dengan menggunakan kaedah seperti pukat, menjala, memancing dan taut bagi melakukan penangkapan.
Pemantauan dan dokumentasi hasil tangkapan semua ikan yang berjaya akan dikumpulkan bagi mengenalpasti spesies, menghitung jumlah tangkapan, dan untuk rekod analisis populasi. – TVS