Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Tourism Malaysia (Singapura) Norliza Md Zain bersama wakil-wakil dari Persatuan Bas Ekspres & Ekskursi Singapura (EEBA) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Pavilion Sarawak. Foto STB

Penyertaan sulung Sarawak di Travel Malaysia Fair 2025 di Singapura beri impak positif

ByRegina Lee

KUCHING, 14 Mei: Sarawak mengorak langkah  mempromosikan pelancongannya di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan sulungnya di Travel Malaysia Fair (TMF) 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei lalu di Dewan 4 & 5 EXPO Singapura.

Acara ini memperlihatkan usaha berterusan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan lestari yang kaya dengan budaya serta mudah diakses terutamanya dalam menarik minat warga Singapura dan komuniti ekspatriat di republik tersebut.

Menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor, penyertaan Sarawak dalam TMF adalah bukti komitmen berterusan untuk mempererat hubungan dengan industri pelancongan Singapura.

“Singapura sentiasa menjadi pasaran penting bagi kami. Kehadiran kami di TMF 2025 membuktikan kesungguhan kami untuk terus berhubung dengan pasaran yang matang serta menghargai alam semula jadi, warisan dan kemudahan akses yang ditawarkan Sarawak.

“Sambutan memberangsangkan daripada pengunjung Singapura ke Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 serta sambungan penerbangan terus ke Kuching, Miri dan Sibu menjadi bukti hubungan dua hala yang kukuh dan berpotensi berkembang,” katanya.

Ujarnya, STB optimis momentum ini akan terus dipacu menerusi kempen pemasaran baharu, jalinan kerjasama lebih erat dan peningkatan sambungan udara termasuk 14 penerbangan mingguan yang dikendalikan oleh Scoot.

Penyertaan ini juga memperkukuh kejayaan kempen kolaboratif sebelum ini, termasuk Perjanjian Kempen Tripartit 2024 antara STB, Scoot dan Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS).

Mengulas lanjut, Sharzede turut mendedahkan Sarawak kini giat memposisikan dirinya sebagai destinasi ‘bleisure’ (perniagaan dan percutian) serta pilihan utama pelancong yang mencari pengalaman pelancongan berasaskan alam dan budaya.

“Acara seperti TMF 2025 menjadi platform penting untuk mengekalkan keterlihatan jenama pelancongan Sarawak, membina jaringan kerjasama serta meletakkan Bumi Kenyalang sebagai Pintu Masuk Malaysia ke Borneo,” tambah beliau.

Pavilion Sarawak di TMF 2025 menampilkan lima penjual utama termasuk agensi pelancongan ternama seperti Meidi Travel Solutions, Singatour dan EU Holidays, yang menawarkan pakej khas menampilkan pelancongan eko, budaya dan pengembaraan Sarawak, di samping menjadi ruang interaktif untuk sesi jaringan bersama ejen pelancongan Singapura bagi memperkukuh kerjasama dan pembangunan produk pada masa depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan