KUCHING, 14: Menerusi kerjasama strategik Kementerian Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), pelbagai platform disediakan bagi membolehkan usahawan kreatif, pengamal seni serta pencipta kandungan tempatan mengembangkan potensi dan bersaing di pasaran global.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata usaha bersepadu itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri kandungan digital, khususnya di Sarawak yang kini berada di landasan kukuh untuk muncul sebagai hab kreatif digital utama di Asia Tenggara.
“Visi Kementerian Digital adalah jelas iaitu memberdayakan pencipta, memperkukuh ekosistem kreatif serta menjadikan Malaysia sebagai kuasa kandungan digital yang kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kre8tif East 2025: Empowering Tomorrow’s Creator, Today! di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memperkasa industri kreatif turut selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pendigitalan, pendiversifikasian ekonomi serta penggunaan teknologi dan kreativiti dalam pembangunan masa depan negeri.
“Melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK), program bimbingan dan latihan profesional, pencipta tempatan berpeluang menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran global.
“Bidang seperti animasi, permainan video, media digital dan teknologi realiti maya (VR) kini menjadi antara sektor utama penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut memperluaskan jaringan antarabangsa menerusi kerjasama bersama badan global seperti UNESCO, World Craft Council dan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN), bagi memperkukuh peranan Malaysia, khususnya Sarawak, dalam bidang budaya dan warisan kreatif.
Justeru katanya, Kementerian Digital kekal komited menerajui langkah inovatif yang menyokong pembangunan pencipta kandungan dan pemain industri tempatan, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara inklusif.