KUCHING, 14 Mei: Sarawak terus memperkukuh peranannya sebagai hab kreatif serantau apabila menjadi tuan rumah kepada acara industri kreatif berprestij Kre8tif! East 2025 yang julung kali dianjurkan di Malaysia Timur.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman berkata penganjuran ini memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab kreatif serantau Kepulauan Borneo.
“Acara ini amat penting bagi kita semua di Borneo kerana ia dapat membuka peluang kepada bakat tempatan untuk menembusi pasaran global melalui pendedahan dan peluang untuk mempamerkan kreativiti mereka,” katanya ketika Majlis Pelancaran Kre8tif! East 2025, pada hari ini.
Menurutnya antara inisiatif digital yang diketengahkan termasuk pembinaan Makeramai Makerspace, Digital Village Accelerator (DiVA) yang bantu menyokong syarikat pemula, serta inisiatif pendidikan seperti Digital NextGen dan Digital Storytelling and Animation (DiSTA) yang menggabungkan unsur STEM dan animasi.
“SDEC turut memperkenalkan program Sarawak Digital Residency Programme (SRDP) dan geran Go Digital bagi menyokong usahawan kreatif dan pakar digital di Sarawak,” ujarnya.
Menurut Sudarnoto, Sarawak kini bukan lagi mengejar kemajuan digital, sebaliknya muncul sebagai peneraju melalui pendekatan berasaskan budaya, komuniti dan inovasi.
Katanya, hampir 200 peserta dari seluruh negara hadir menerusi anjuran SDEC dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
“Menerusi acara ini antara peserta yang terlibat ialah dari dalam dan luar negara termasuk Jepun, Singapura, Perancis dan Amerika Syarikat,” ujarnya.
Tambah beliau, selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, wilayah ini akan menganjurkan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS25) pada Oktober ini.