KUCHING, 14 Mei: Persembahan kebudayaan Dayak dan Kadazan-Dusun menerusi Konsert Gawai-Kaamatan serta pengalaman glamping dijangka menjadi tarikan utama Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 pada 7 Jun ini di Rumah Veriland, Engkeranji, Layar, Betong.
Acara kemuncak sambutan Gawai anjuran Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dengan kerjasama Pejabat Residen Betong itu akan berlangsung dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam, dan dijangka menarik pengunjung dari seluruh Sarawak serta pelancong luar.
Menurut Presiden STF, Audry Wan Ullok, edisi ketiga rumah terbuka itu membawa pendekatan baharu dalam penganjuran acara budaya dengan memperkenalkan aktiviti glamping (konsep perkhemahan dengan keselesaan moden) bagi pengunjung yang ingin bermalam di lokasi acara.
“Rumah Terbuka Gawai Dayak tahun ini bukan sahaja bertujuan meraikan warisan budaya, tetapi turut menjadi platform untuk merancakkan pelancongan luar bandar.
“Kami berbangga memperkenalkan glamping dan Konsert Gawai-Kaamatan sebagai tarikan baharu, terutamanya untuk menarik minat golongan belia dan pencinta budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; serta pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah Betong, Jabatan Pengairan dan Saliran Betong, Lembaga Pelancongan Sarawak, Tourism Malaysia Sarawak dan Business Events Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk persembahan kebudayaan, bengkel interaktif, pameran seni, dan bazar kraftangan tempatan, menjadikan sambutan ini sebagai satu platform meriah memperkenalkan warisan etnik kepada masyarakat umum.
Orang ramai dijemput hadir ke acara percuma ini yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni budaya, makanan tradisional dan hiburan rakyat.
Bagi pengunjung yang ingin menerokai daerah Betong dengan lebih mendalam, STF turut menawarkan pakej pelancongan istimewa seperti “3 Hari 2 Malam Gawai di Tanah Pahlawan”, “3 Hari 2 Malam Gawai Glamping”, serta “6 Hari 5 Malam Sarawak Gawai Festival”.
Maklumat lanjut dan tempahan boleh dibuat menerusi laman web rasmi STF di https://sarawak.travel/2025-openhouse.