KUCHING, 14 Mei: Sarawak kini berada di landasan yang kukuh untuk meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui industri kreatif digital.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata dengan pelaburan strategik dalam pembangunan kandungan digital, latihan profesional dan kerjasama antarabangsa, Sarawak bukan sahaja memperkukuh ekonomi tempatan malah meletakkan ia sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital di Asia Tenggara.
“Industri kreatif digital, termasuk animasi, permainan video dan teknologi VR, kini menjadi sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Sarawak.
“Mengikut statistik terkini, sektor industri kreatif Malaysia secara keseluruhan telah menyumbang kira-kira RM29.4 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2019, dengan Sarawak berperanan penting dalam pertumbuhan sektor ini,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Kre8tif East 2025: Memberdayakan Pencipta Masa Depan, Hari Ini di sini, hari ini.
Selain itu, beliau menambah, inisiatif seperti Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan program pembangunan bakat melalui MDEC memberikan peluang kepada usahawan dan pencipta tempatan untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi, meningkatkan pendapatan serta memperluas pasaran di peringkat antarabangsa.
Dengan pertumbuhan pesat dalam sumber digital dan inovasi kreatif, Sarawak dijangka dapat menyumbang lebih banyak kepada KDNK negara melalui peningkatan perdagangan dalam sektor kreatif.
Tambah beliau, kejayaan ini juga membuka peluang baru dalam pemasaran global, menarik lebih banyak pelaburan asing, dan memperkukuhkan hub digital Sarawak sebagai pusat industri kreatif utama di Asia Tenggara.
“Sarawak kini memperlihatkan bagaimana industri kreatif boleh menjadi enjin pendiversifikasian ekonomi yang penting, tidak hanya memperkaya KDNK negeri, tetapi juga memacu kemakmuran jangka panjang dan pertumbuhan inklusif untuk masyarakat setempat,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara MDEC dan MYTV Broadcasting Malaysia. -TVS