KUCHING, 14 Mei: GOBARAKAH sebuah aplikasi yang dibangunkan bagi memudahkan pembayaran zakat dan sumbangan derma bakal membangunkan sebuah universiti Islam di Kemboja dan dua buah sekolah tahfiz, satu darinya bertaraf antarabangsa di Sarawak.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, sebahagian sumbangan yang diterima melalui aplikasi itu akan diperuntukan bagi membangunkan sebuah Universiti Islam Swasta di Phnom Penh Kemboja iaitu Cambodia University of Management and Technology, sebuah sekolah menengah Tahfiz Hikmah dan sebuah Sekolah Antarabangsa Islam di Kuching.
“Seperti yang kita sedia maklum, umat Islam di sana masih merupakan golongan minoriti. Hasrat mereka adalah untuk memperkasa komuniti agar mampu mencapai tahap yang lebih tinggi. Melalui penubuhan sebuah universiti, mereka sedang mencari sokongan daripada negara-negara ASEAN, antara yang telah mereka dekati ialah kita di Sarawak.
“Mereka telah datang kepada kita dengan harapan agar kita dapat memberikan sokongan dalam apa jua bentuk. Sudah tentu, bentuk sokongan yang paling bermakna adalah melalui pembiayaan, supaya universiti tersebut dapat dibangunkan dengan kemudahan yang mencukupi, seterusnya memudahkan pelajar-pelajar Muslim di sana melanjutkan pengajian mereka,” katanya lagi.
Datu Abang Mohd Shibli berkata berkata demikian kepada TVS pada sidang media World Zakat and Waqf Forum (WZWF) ke-14 yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak pada Rabu.
Sementara itu, Pengasas Bersama GOBARAKAH Rizal Kamaruzzaman pula berkata, aplikasi itu memenuhi kelulusan syarak dalam pelaksanaanya dan telah memenangi pelbagai anugerah di luar negara, antaranya johan kategori Inklusiviti Digital, FIKRATech London (2004), Securities Commission Malaysia Accelerator, FIKRAace 2024 dan Pemenang Global, World Summit Awards 2024 bagi kategori perniagaan dan perdagangan.
GOBARAKAH turut bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia dalam merancang beberapa program bagi mewujudkan ketelusan dan akauntabiliti sekali gus memastikan dana disalurkan ke tempat yang sepatutnya-TVS