SANDAKAN, 14 Mei: Dua cubaan rentas sempadan dari Filipina berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dalam dua operasi berasingan di timur laut Pulau Berhala, semalam.
Dalam kejadian pertama sekitar jam 11.49 pagi, Kapal Maritim PINTAR (KM PINTAR) mengesan sebuah vesel mencurigakan kira-kira satu batu nautika dari Timur Laut Pulau Berhala yang dipercayai keluar dari Pulau Taganak, Filipina. Pemeriksaan mendapati vesel berdaftar itu membawa 14 individu termasuk seorang tekong terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita berumur antara lapan hingga 70 tahun.
Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, majoriti penumpang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Malah, salah seorang daripada mereka cuba menyogok pegawai penguat kuasa dengan wang tunai namun gagal dan wang tersebut dirampas sebagai bahan bukti.
Vesel berkenaan bersama semua individu ditahan dan dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta SPRM 2009.
Dalam operasi kedua sekitar jam 12 tengah hari, sebuah lagi bot tanpa nombor pendaftaran disyaki ‘bot hantu’ dipintas kira-kira 4.3 batu nautika dari Pulau Berhala.
Bot berkenaan dikendalikan oleh tekong warga Filipina yang hanya memiliki MyKas, bersama dua awak-awak warga asing dan seorang warga tempatan.
Pemeriksaan lanjut menemukan 12 tong jerrycan berisi petrol dianggarkan sebanyak 300 liter, serta 700 liter lagi disimpan dalam tangki utama untuk tiga enjin luar masing-masing 250 kuasa kuda.
“Ini bukan sekadar bot tidak sah. Ini perangkap maut terapung yang sarat bahan mudah terbakar, tanpa sebarang ciri keselamatan,” tegas Suhairy, sambil menyatakan ia dipercayai digunakan untuk perjalanan ulang-alik antara Malaysia dan Filipina.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.-TVS