BUTTERWORTH, 14 Mei: Bekas Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 17 pertuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah hampir RM860,000.
Ramasamy, 76, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 13, beliau yang ketika itu Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP) yang diberi amanah menjaga dana lembaga itu, didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta tanpa mendapat kelulusan mesyuarat LWHNPP.
Ia membabitkan pembayaran bagi membeli pedati emas berjumlah RM779,131.29 yang dibuat menerusi 13 cek dan pindahan telegraf.
Bagi pertuduhan ke-14 dan 15, beliau didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan bayaran perbelanjaan perubatan menerusi dua cek sebanyak RM50,000 dan RM15,000.
Untuk dua lagi pertuduhan, Ramasamy didakwa melakukan kesalahan sama, namun membabitkan pembayaran bagi bantuan kewangan pendidikan menerusi dua cek sebanyak RM10,000 dan RM5,000.
Kesalahan-kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di KOMTAR dan Perangin Mall, George Town antara 2 Mei 2019 hingga 18 April 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.
Tertuduh diwakili barisan peguam, Shamser Singh Thind, Eng Yuh Pei dan Archana Chandrasekaran.
Ramasamy kemudiannya dibenarkan diikat jamin berjumlah RM78,000 beserta syarat tambahan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.
Kes akan disebut semula 16 Julai depan. – TVS