KULIM, 14 Mei: Anak saya (Allahyarham Konstabel Akmal Wafi) beritahu dia hendak pulang bercuti di kampung tetapi rupanya dia balik untuk selama – lamanya.
Demikian kongsi Annuar Yusof, bapa kepada anggota pasukan simpanan persekutuan (FRU) yang terkorban bersama lapan rakan setugasnya dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, Perak, pagi semalam.
Annuar berkata, arwah yang juga anak sulung daripada lima beradik itu memaklumkan hasrat untuk pulang ke kampung menerusi panggilan video tiga hari lalu.
“Arwah beritahu akan pulang bersama adik perempuannya, Nor Wardina, 26, yang tinggal di Shah Alam, Selangor.
“Dia berseloroh (bergurau) dengan adik, cakap tak apa 13 Mei hari Selasa dia akan balik, dia suruh adik singgah di Ipoh untuk ambil dia.
“Saya difahamkan Arwah sudah mohon cuti selama dua hari,” katanya.
Annuar ditemui pemberita selepas majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra Sungai Limau Lunas di sini hari ini.
Jenazah Akmal Wafi selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi tadi, dihadiri lebih 300 orang termasuk pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi semalam di Jalan Chikus – Sungai Lampam, sebuah lori muatan pasir yang dipercayai mengalami kerosakan fungsi stereng merempuh trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami semalam.
Lapan anggota termasuk Akmal Wafi maut ditempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, Annuar berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya dua minggu lalu namun anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Ketika kejadian semalam, saya sdapat tahu selepas lihat gambar dan video di media sosial ketika bersarapan bersama rakan di warung.
“Sebaik pulang ke rumah, saya cuba menghubungi telefon bimbit anak beberapa kali, namun tidak berjawab dan menghubungi tempat kerjanya sebelum dimaklumkan berhubung kemalangan itu,” katanya. -TVS.